Penyanyi Datuk Zainal Abidin akui dia memerlukan dana lebih RM1 juta untuk menghasilkan album terbarunya akan datang.

Zainal Abidin , 57, berkata kos yang tinggi itu diperlukan untuk membayar khidmat pemuzik profesional antarabangsa.

"Saya kini sedang mencari dana dari badan kerajaan dan swasta untuk membiayai kos menghasilkan album saya yang mana menggunakan khidmat pemuzik luar negara.

"Saya perlukan RM500 ribu untuk menghasilkan album dan selebihnya saya perlukan RM1.2 juta hanya untuk pemuzik sahaja.

"Pemuzik saya bukan daripada nama-nama kecil tetapi saya berkomunikasi dengan pemuzik antarabangsa seperti David Foster, Paul Simon, Sting dan ramai lagi.

"Profesional fee mereka sangat tinggi jadi kos itu juga diperlukan untuk studio, susunan muzik serta untuk perbelanjaan penginapan mereka juga," katanya kepada Astro Gempak

Bekas vokalis Headwind itu memberitahu dia jangka album akan datang ini adalah album terakhirnya memandangkan usianya juga sudah hampir mencecah 60 tahun.

"Saya tidak mengaharap lebih, saya cuma berharap saya dapat menghasilkan sebuah sahaja lagi album di usia sebegini.

"Jadi saya boleh kata album seterusnya ini album terakhir lah. Tapi jika usia saya panjang dan diberi peluang saya tidak menolak untuk menghasilkan beberapa album lagi.

"Saya mahu berikan terbaik dalam setiap album saya kerana saya tidak mahu memberi kepuasan kepada peminat saya," katanya lagi.

Perkembangan lain, Zainal Abidin bakal muncul dalam konsert The Musical Journey Of Zainal Abidin – 35th Anniversary Concert Featuring Headwind pada 25 Februari depan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Teks oleh Syafiqah Jalal