Pengguna laman sosial meminta Amir Raja Lawak menggantikan tempat anggota Running Man, Kang Gary yang telah meninggalkan program variasi popular tersebut pada Oktober 2016.

Menurut Amir, 29, dia tahu mengenai usikan tersebut selepas terbaca komen-komen di akaun media sosialnya.

Bagaimanapun dia menganggap perkara itu sebagai gurauan dan menerimanya dengan hati yang terbuka,.

“Running Man merupakan satu program yang sangat popular, tapi saya tidaklah tengok semua episodnya.

“Tapi tidak sangka pula netizen usik saya sehingga suruh sertai Running Man dan gantikan Gary.

“Sebenarnya saya okay dan tidak kisah pun, bagi saya selagi nama disebut maknanya saya masih lagi diingati.

“Saya berada ditahap ini pun hasil komen-komen dan sokongan mereka. Lebih baik nama disebut daripada tidak.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya adalah juga orang yang ingat saya. Kalau tidak disebut pun nanti orang kata nama saya tenggelam pula,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Amir lagi, dia tidak berasa terganggu sebaliknya perkara itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk memperbaiki mutu persembahannya dalam program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang akan berlangsung esok.

“Setiap orang dilahirkan dengan bakat tertentu, jadi saya percaya yang saya ini pun ada kelakarnya juga.

“Bila orang usik suruh saya gantikan Gary dan kata saya lebih kelakar daripada dia, saya anggap itu sebagai pembakar semangat saya untuk membuat persembahan di MLM 2017 nanti.

“Tak perlu ambil benda negatif, kita anggap segala usikan yang diberikan itu sebagai sesuatu yang positif.

“Secara tidak langsung kita boleh jadikan usikan itu sebagai satu motivasi untuk diri sendiri,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Amir terlibat dalam program Maharaja Lawak Mega 2017.

Amir bersama dua lagi pelawak lain iaitu Din dan Bocil menubuhkan sebuah kumpulan bernama Hobit.

MLM 2017 akan bersiaran bermula 17 Februari, setiap Jumaat, jam 10 malam dan disiarkan secara langsung bertempat di Royal Theater, Shah Alam menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).

Teks oleh: Mya Amri