Juara Lawak Solo musim pertama, Danial, yakin mampu bersaing dengan pelawak-pelawak senior dalam program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017).

Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 24, berkata, dia sudah bersedia dan menyusun strategi untuk berhadapan dengan pelawak-pelawak senior.

"Pertama kali menyertai program besar seperti MLM 2017, tidak bermakna saya tidak mampu untuk memberi saingan kepada mereka.

"Perasaan gementar itu memang ada kerana di pentas ini saya perlu bersaing dengan pelawak berkumpulan dan saya pula solo malah kebanyakan mereka pula jauh berpengalaman daripada saya.

"Apa saya boleh janjikan adalah untuk melakukan persembahan terbaik dengan strategi yang tersendiri dalam MLM 2017.

"Saya juga akan cuba untuk tidak mengulang karakter-karakter yang pernah dibawa pada pertandingan Lawak Solo sebelum ini," katanya.

Danial ditemui pada majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang diadakan di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Danial bakal berada di pentas MLM 2017 sebagai peserta solo bersama Mad Sabah dan Dzawin dari Indonesia.

Antara kumpulan pelawak yang bakal berentap untuk musim ke-6 program tersebut adalah Joras yang dianggotai oleh Shuk (SYJ), Rahim (R2) dan Joey (Jalor), Xoxo (Wan, Wan Gegau dan Chot), Nice (Ropie, Achong dan Tauke), Zero (Atu,Shariff dan Syaiful) dan Mamu (Ajo dan Abu).

Peserta lain yang turut terlibat adalah Shiro (Sharol dan Ajak), Pistol (Ag Hafiz dan Raja Azri), Puteh (Mamak dan Ali) dan Bocey (Abam, Fad dan Achey).

Manakala kumpulan pelawak dari Indonesia adalah Abioso (Amin, Sarip dan Mamad).

Sementara itu, kumpulan pelawak dari Indonesia, Malaysia dan Singapura adalah Masin (Mamat, Vicha dan Jiggy) dan Hobit (Amir, Bocil dan Din) gambungan dari Malaysia dan Indonesia.

MLM 2017 bakal bersiaran selama 12 minggu pada setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 17 Februari ini dan disiarkan menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi