Dek kerana mempunyai kehidupan yang sempurna, pelakon jelita, Nicole Kidman kini dicemburui oleh rakan-rakannya.

Sering tampil menawan, Nicole bagaikan mempunyai segala-galanya. Ditambah dengan sepasang anak kembar kembar dan suami yang sempurna, kehidupan Nicole juga dilimpahi dengan kekayaan.

Semuanya digambarkan menerusi watak Celeste Wright yang Nicole bawakan dalam drama bersiri terhad HBO Original, Big Little Lies.

Selain Nicole, Big Little Lies turut dibintangi oleh Reese Witherspoon, Shailene Woodley, Laura Dern, Zoë Kravitz dan ramai lagi.

Merupakan adaptasi novel popular karya penulis Liane Moriarty, Big Little Lies berkisarkan mengenai sekumpulan masyarakat yang menyembunyikan sesuatu untuk menjaga imej dan kesempurnaan hidup.

Big Little Lies merupakan drama bersiri yang subversif dengan komedi gelap yang turut memasukkan kisah pembunuhan dan muslihat sambil meneroka mitos kesempurnaan masyarakat serta percanggahan yang wujud di sebalik tanggapan ideal masyarakat tentang perkahwinan, keibubapaan dan persahabatan.

Tujuh episod siri drama ini akan mula ditayangkan pada waktu yang sama dengan Amerika Syarikat pada hari Isnin, 20 Februari jam 10.00 pagi, dengan waktu ulangan pada hari yang sama jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran HBO (411) dan HBO HD (431). Episod baru akan ditayangkan pada setiap hari Isnin. Siri ini juga boleh ditonton menerusi di Astro On The Go.


Selain Big Little Lies, HBO turut menyiarkan siri komedi terbaru HBO Original yang berjudul Crashing. Drama bersiri Crashing ini dibintangi oleh pelakon komedi Pete Holmes.



Crashing mengisahkan mengenai Pete yang merupakan seorang naif yang tinggal di luar bandar dan telah berkahwin dengan kekasihnya dari zaman kanak-kanak.

Dia mengimpikan untuk berjaya sebagai ‘stand-up comedian’. Apabila dia mendapat tahu bahawa isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain, dunia Pete musnah dan dia terpaksa menilai semula keutamaan dalam hidupnya.

Dia seterusnya menjunam ke dunia komedi di New York yang penuh cabaran. Siri Crashing bakal disiarkan selama lapan episod pada waktu yang sama dengan Amerika Syarikat, pada hari Isnin, 20 Februari, jam 11.30 pagi, dengan tayangan ulangan pada hari yang sama, jam 10.30 malam, eksklusif di saluran HBO (411) dan HBO HD (431). Crashing juga dapat disaksikan di Astro On The Go.

Teks oleh: Kamaruddin Razal