Pelawak Abam (Bocey) menafikan membawa kekasih untuk berjumpa dengan ibunya.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd, 29, berkata, gambar wanita yang tersebar di Forum Cari itu bukanlah kekasihnya tetapi cuma seorang rakan.

"Saya mempunyai ramai kawan wanita dan masih belum ada kekasih.

"Jujur saya katakan, masih belum ada yang benar-benar melekat di hati saya untuk dijadikan pasangan hidup.

"Selalunya saya akan bawa balik dan kenalkan kepada ibu dahulu dengan siapa saya berkawan.

"Jika ibu berkenan saya akan serius dengan hubungan itu tetapi ada juga beberapa yang orang yang dia suka tapi saya pula tidak berkenan," katanya kepada Astro Gempak.

Abam ditemui pada majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang diadakan di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Kumpulan Bocey akan berentap bersama 14 kumpulan lain di MLM 2017 yang akan bersiaran secara langsung dari Royal Teater, Shah Alam, setiap Jumaat bermula 17 Februari ini, pukul 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi