Penonton setia Sepahtu Reunion Live meluahkan rasa sedih kerana program realiti tersebut bakal berakhir pada malam ini.

Salah seorang anggota Sepahtu, Shuib ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka program tersebut mendapat sambutan hangat dan meraih rating yang sangat memberangsangkan.

Tambahnya, dia terkejut apabila melihat ruangan komen di Instagram yang dihujani komen-komen sedih peminatnya dan Sepahtu.

“Alhamdulillah, saya pun tak sangka ramai yang suka program ini walaupun adakalanya saya rasa ada episod yang kurang memuaskan bagi saya.

“Memandangkan Sepahtu Reunion bakal berakhir, ramai pula yang memberikan komen-komen sedih dan ada juga yang minta supaya program ini diteruskan untuk musim yang seterusnya,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Mengulas mengenai program berkenaan, Shuib memberitahu bukan mudah untuk mencari idea secara spontan dalam program berkenaan.

“Pening kepala juga nak mencari idea, lebih-lebih lagi apabila program yang melibatkan siaran langsung.

“Kadang-kadang bila dengan ahli kumpulan sendiri mungkin okay tetapi bila muncul tetamu undangan agak sukar sedikit, tambahan lagi kami tidak diberikan skrip.

“Bukan semua tetamu undangan biasa buat lawak, begitu juga dengan selebriti yang diundang sebagai cameo setiap minggu bersama kami.

"Bayangkan, semuanya spontan! Tanpa latihan dan tidak tahu siapa tetamu cameo, idea boleh kering tiba-tiba.

"Pernah beberapa episod saya kaku kerana tidak tahu nak cakap apa kepada selebriti cameo.

"Tapi syukur sepanjang Sepahtu Reunion bersiaran, kami tidak mempunyai sebarang masalah,” ujarnya.

Episod akhir Sepahtu Reunion Live bakal menyaksikan aktres Siti Elizad sebagai tetamu undangan.

Siapa pula cameo terakhir yang bakal 'memeningkan' kepala Jep, Shuib dan Rahim?

Saksikan Sepahtu Reunion Live episod akhir yang bersiaran dari Sound Stage Studio, FINAS menerusi saluran Warna (132) dan Mustika HD (134), pukul 10 malam ini.

Teks oleh: Mya Amri