Penyanyi antarabangsa Madonna, 58, mengambil pasangan kembar yang berasal dari negara Malawi untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Pasangan kembar yang bernama Eshter dan Stella yang berusia 4 tahun itu merupakan ahli keluarga terbaru Madonna selepas Madonna mengambil dua anak angkat, David Banda dan Mercy James, 11, yang juga dari Malawi.

Madonna yang mempunyai dua anak kandung iaitu Lourdes Maria Ciccone Leon, 20 dan Rocco Ritchie, 17, meluahkan rasa syukur kerana proses pengambilan anak angkat kembarnya telah selesai dan dipermudahkan.

"Dengan ini, saya sangat gembira untuk memaklumkan bahawa mereka kini merupakan sebahagian daripada keluarga saya," kata Madonna.

Sebelum ini, terdengar khabar yang mengatakan Madonna sedang dalam proses mengambil anak angkat baru tetapi berita tersebut dinafikan oleh pengurusnya.

Sumber: Dailymail
Olahan oleh: Kamaruddin Razal