Pelakon Sharnaaz Ahmad memilih negeri kelahirannya, Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran pra perkahwinannya bersama bakal isteri, Noor Nabila Mohd Noor yang juga kakak pengacara popular, Neelofa.

"Kami memilih negeri kelahiran saya, Pulau Pinang, sebagai lokasi penggambaran praperkahwinan kerana ia bertepatan dengan konsep 'English' dan 'Heritage'.

“Saya rasa lokasi yang dipilih itu sangat sesuai. Nampak saja begini, namun sebenarnya saya mementingkan elemen klasik untuk diterapkan dalam tema perkahwinan," katanya kepada BH Online.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 32, yang bakal mendirikan rumah tangga bersama Nabila pada 31 Mac depan, memutuskan untuk berehat seketika daripada kerja seni bagi melunaskan saki-baki persiapan majlis bersejarahnya.

"Debaran untuk menaiki pelamin semakin hari semakin terasa, namun kesibukan bekerja kadang kala melekakan saya. Dari segi persiapan pula, banyak lagi yang belum diselesaikan, jadi saya memilih untuk bekerja sehingga penghujung bulan ini saja.

"Boleh dikatakan 50 peratus persiapan sudah pun dilakukan dan selebihnya akan cuba diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Pasangan ini berkenalan pada 2015 sebelum Sharnaaz menghantar rombongan merisik Nabila pada Disember lalu.

Dalam perkembangan terbaru, Sharnaaz teruja telefilem sulung arahannya, Lukisan Cinta, mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.

Sharnaaz bersyukur pertaruhan pertama yang turut menampilkan dirinya dan Nabila Huda sebagai teraju utama diterima baik.

"Biarpun ditayangkan menerusi slot petang pada hari pertama Tahun Baharu Cina, namun saya dimaklumkan tayangan telefilem Lukisan Cinta mendapat rating menggalakkan.

Ia sekali gus membakar semangat saya untuk terus berkarya," kata Sharnaaz.

Sumber: BH Online