Penyanyi Awie memberitahu dia ingin mencari pelapis rock yang versatile menerusi program realiti terbaru Astro, Rockanova.

Menurut Awie, dia mahukan seorang yang boleh menyanyi boleh menyanyikan lagu bernada tinggi dan rendah dengan baik.

“Tak semestinya bernyanyi dalam nada tinggi itu hanya dikhususkan kepada rockers. Sebenarnya menyanyi ini merangkumi semua aspek.

“Sama ada pada nada rendah atau pun tinggi, kedua-duanya perlu seimbang dan bagus.

“Cuma kalau ada yang boleh menjerit itu boleh saya katakan senjata utama kepada rockers kerana penyayi balada tidak akan menjerit dalam lagu-lagu mereka dan menggunakan teknik falsetto untuk menyanyi.

“Cuma rock sahaja, jadi kita nak lihat sejauh mana kemampuan mereka dan mungkin itu merupakan satu kelebihan kepada mereka yang boleh bernada tinggi ataupun menggunakan Falsetto,” katanya.

Dalam pada itu, Awie dan Edry akan menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap di mana mereka akan menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Manakala Hattan pula dilantik sebagai Guru Vokal dan persembahan yang akan memberikan khidmat bimbingan dan tunjuk ajar kepada para peserta supaya mereka benar-benar bersedia untuk menjadi pelapis serta saingan kepada penghibur sedia ada.

Ujibakat Rockanova yang dilakukan secara online menerusi Instagram (IG) telah pun bermula pada 23 Januari hingga 12 Februari 2017.

Untuk penyertaan secara online, sila muatnaik video nyanyian ujibakat anda di IG dan hashtag #bakatrockanova.

Penyertaan menerusi Sinar fm pula boleh dilakukan dengan menantikan isyarat memanggil di segmen petang, Santai Sinar setiap Isnin hingga Khamis, bermula jam 3.00 petang pada 23 Januari hingga 12 Februari.

Calon-calon yang dipilih menerusi kedua medium ujibakat ini akan menghadiri sesi ujibakat dengan laluan pantas (fast lane) di lokasi terpilih.

Selain online, ujibakat seterusnya akan diadakan pada 18 dan 19 Februari bertempat di Anggerik Mall, Shah Alam.

Untuk maklumat lanjut layari : Rockanova