Juara Akademi Fantasia 2016 (AF2016), Amir akui tanggung risiko melancarkan album sulungnya pada tahun ini.

Namun, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata dia akan bekerja lebih keras untuk menghasilkan album yang berkualiti dan boleh diterima ramai.

"Saya tahu bukan mudah orang hendak terima album dari penyanyi baru seperti saya tetapi jika saya tidak mencuba saya pun tak tahu penerimaannya.

"Jadi saya rela tanggung risiko untuk melancarkan album sulung saya walaupun saya tak nafikan ada rasa sedikit risau.

"Apa-apa pun saya akan pastikan album yang saya hasilkan nanti berkualiti dan disukai ramai," katanya kepada Astro Gempak

Amir popular dengan single pertamanya berjudul Pemilik Cinta selepas menjuarai AF2016.

Mengulas mengenai albumnya itu, Amir memberitahu ia bakal memuatkan enam buah lagu termasuk hasil ciptaannya.

"Sekarang saya sedang mengumpulkan beberapa material lagu untuk album saya.

"Selain lagu daripada komposer-komposer terkenal, saya juga akan mencipta lagu saya sendiri.

"Saya memilih genre balada dan rock untuk album pertama saya," katanya lagi.

Teks oleh Syafiqah Jalal