Penyanyi Azhar memberitahu dia merancang untuk mencari anggota baru bagi menggantikan Hael yang mengumumkan pengundurannya daripada kumpulan duo Azhael.

Menurut Azhar dia tidak mahu menjadi batu penghalang kepada Hael yang ingin meneruskan kerjaya solonya sendiri.

“Dia dah buat keputusan jadi biarlah, saya tak mahu jadi penghalang kerjaya dia lagipun saya tahu ramai peminat di Instagramnya yang minta Hael untuk menyanyi solo.

“Memandangkankan jiwa saya lebih kepada vokal berkumpulan, selepas ini saya akan mencari ahli baru bagi menggantikan Hael.

“Kalau boleh saya mahukan berkumpulan yang vokalnya boleh diharmonikan dengan vokal saya.

"Saya juga mahu cari pasangan baru yang lebih setia,” katanya ketika dihubungi oleh Astro Gempak.

Mengulas mengenai Azhael, Azhar menjelaskan dia menghormati keputusan Hael walaupun masih banyak kejayaan yang diimpikan bersama kumpulan tersebut belum tercapai.

“Tipulah kalau kata tak sedih, sedikit sebanyak terasa juga, kalau kira Azhael masih lagi baru nak bertapak dalam industri.

“Banyak lagi kejayaan yang belum kami kecapi menerusi nama Azhael itu sendiri, tapi keputusan telah dibuat dan saya hormatinya.

“Saya pun tak mahu jadi penghalang dan saya doakan dia berjaya lagipun Hael memang seorang yang berbakat,” jelasnya.

Teks oleh: Mya Amri