Saluran SBS mendedahkan Running Man tidak jadi ditamatkan disebabkan oleh permintaan peminat program tersebut di seluruh dunia.

Menurut Pengarah saluran SBS dan juga pencipta Running Man, Nam Seung Yong, keputusan itu dibuat selepas memikirkan permintaan penyokong setia program berkenaan.

“Running Man bukanlah hanya sekadar sebuah program variasi, Running Man mempunyai lebih daripaa 100 juta peminat di seluruh dunia.

“Tidak adil rasanya untuk membiarkan cadangan mereka yang meminta supaya pihak produksi memikirkan kembali keputusan tersebut.

“Tidak adil juga jika membatalkan dan menamatkan program ini hanya kerana masalah dalaman,” katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai hubungan diantara anggota Running Man selepas kontroversi tersebut, Nam Seung Yong menjelaskan mereka semua tidak mempunyai sebarang masalah.

“Jangan khuatir dengan kerjasama dan hubungan diantara anggota Running Man. Mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

“Jika hubungan mereka tidak begitu baik, mustahil untuk kami mengekalkan rancangan ini. Secara jujurnya saya tidak risau sebaliknya saya percaya mereka akan bekerja dengan lebih keras lagi. Tunggu dan lihat sahajalah,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai ahli baru bagi menggantikan peranan Gary dalam Running Man, Nam Seung Yong berkata setakat ini perkara itu masih lagi belum berada dalam perancangan.

“Mungkin ada kemungkinan untuk mengambil ahli baru tetapi perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah.

“Anggota asal akan kekal dalam Running Man dan kami akan terus cuba untuk mencari seseorang yang boleh menggantikan Gary.

“Seperti saya katakan, untuk mencari seseorang itu bukanlah mudah dan kami akan cuba berikan yang terbaik.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada penonton dan peminat setia Running Man berikutan kontroversi yang berlaku.

“Keenam-enam anggota Running Man telah kembali dan mereka bersedia untuk mencipta memori baru.

“Sila berikan sokongan terhadap mereka seperti mana anda sayangkan mereka sekarang,” ujarnya.

Sumber: Koreaboo

Olahan: Mya Amri