Penyanyi Linda Rafar sedang mencari seorang penyanyi lelaki yang sesuai untuk berduet bersamanya dalam single terbaharu 'Menunggumu di pintu syurga'.

Menurut bekas penyanyi kumpulan Elite itu, dia masih tidak tahu siapa pasangan duet yang sesuai dengan suaranya untuk menyanyikan lagu itu.

"Saya telah menghasilkan sebuah lagu yang boleh mengubat kerinduan kepada arwah anak saya iaitu Memen.

"Namun sehingga kini saya masih tercari-cari pasangan duet lelaki yang sesuai untuk berduet dengan saya dalam single 'Menunggumu di pintu syurga'.

"Lagu ini merupakan tajuk kepada novel yang saya keluarkan dahulu mengenai cerita kisah yang terjadi kepada anak saya.

"Ia juga menceritakan tentang bagaimana cara untuk tabah dalam menghadapi dugaan dan bangkit kembali untuk meneruskan hidup setelah kehilangan anak," katanya kepada Astro Gempak.

Linda berkata demikian ketika ditemui pada sambutan ulang tahun kelahiran anaknya Rezaril Keiflin, di Crab Factory, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terdahulu, anaknya iaitu Rezaimen Keiflin meninggal dunia di usianya 11 tahun pada 5 Julai 2014 disebabkan barah perut atau 'Burkitt Lymphoma'.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi