Penyanyi Misha Omar akui keadaan kesihatannya kurang baik apabila mengalami batuk-batuk dua hari sebelum Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL 31) sehingga malam kemuncak anugerah tersebut pada semalam (Ahad).


Namun Misha berkata dia telah merahsiakan tahap kesihatannya daripada pasangan duetnya, Hafiz Suip supaya tidak menggangu persembahan untuk lagu Terimaku Seadanya pada hari tersebut.


"Sebenarnya saya mengalami batuk-batuk sejak beberapa hari lalu sebelum AJL31 lagi, namun Hafiz tidak tahu mengenainya.


"Saya cuba tidak beritahu dan merahsiakannya kerana bagi saya saya perlu jaga hati dan emosi dia sebelum AJL31.


"Sehinggalah saat-saat akhir itu saya beritahu juga perkara sebenar bahawa saya tidak sihat tapi saya kata dengan Hafiz supaya jangan bimbang kerana saya sudah mengambil ubat dan saya akan beri yang terbaik untuk persembahan kami," katanya kepada Astro Gempak


Misha Omar dan Hafiz yang membawa lagu Terimaku Seadanya, komposer dan penulis lirik oleh Ajai telah mendapat tempat kedua di AJL31 sekaligus menerima hadiah wang tunai RM35,000 dan trofi.


Sementara itu, Hafiz pula memberitahu dia tidak terkejut dan bimbang apabila diberitahu tahap kesihatan Misha kerana percaya penyanyi tersebut tidak akan menghampakan.


"Saya tidak terkejut atau terlalu bimbang kerana mengenali Misha Omar sebagai penyanyi hebat saya percaya dia boleh lakukannya walau dalam apa jua keadaan sekalipun.



"Malah saya terkejut persembahannya malam ini sangat mengagumkan dan ia telah membuatkan saya lebih bersemangat," katanya.



Pasangan duet ini telah ditewaskan oleh Dayang Nurfaizah yang membawa lagu Lelaki Teragung ciptaan Iman Imran dan Natasyah


Teks oleh Syafiqah Jalal