Pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim akui pengalaman menyanyi serta busking di dalam Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter adalah perkara yang amat mencabar.

Pekin berkata ia mencabar kerana terpaksa membuat persembahan untuk acara Busking Aid On Train itu dalam keadaan ketika keretapi bergerak.

"Ini bukan pertama kali saya menyanyi dan bermain alat muzik, sebagai anak seni saya juga minat bidang muzik dan mengisi masa lapang dengan aktiviti seni ini.

"Tapi pengalaman pertama kali busking di dalam train yang bergerak kali ini memang amat mencabar.

"Bukan apa, biasa busking di kaki lima kita berada di atas jalan yang rata tetapi kami tadi menyanyi sambil terpaksa mengimbangi badan di dalam train yang bergoyang.

"Bagaimanapun ia pengalaman yang tak dapat saya lupakan dan kami berjaya juga menyanyi sehingga 15 buah lagu kesemuanya," katanya kepada Astro Gempak.

Acara Busking Aid On Train itu bertujuan untuk menghiburkan penumpang komuter secara santai sambil memungut derma untuk rumah kebajikan.

Pekin menganggap program yang merupakan projek atau tugasan dia dan rakan artis yang terlibat sebagai pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan Sarjana Pengurusan Industri Kreatif adalah berjaya.

"Alhamdulilah semua berjalan dengan lancar.

"Saya harap kami berjaya mengunpul marah tertinggi untuk projek bagi semester ketiga ini," katanya lagi.

Antara selebriti lain yang terlibat adalah seperti Aril Pilus, Zahid Baharudin, Akma Abdullah, Haziq Rosebi, Maulana AF, Ashraf Pretty Ugly dan ramai lagi.


Busking Aid On Train bermula pada jam 10.30 pagi tadi telah diadakan di stesen komuter Sungai Buloh, Bandar Tasik Selatan dan berakhir di KL Sentral.

Teks oleh Syafiqah Jalal