Konsert Younder Music Live Series By The Lake - Anuar Zain & You yang dijadualkan bakal berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana pada 21 Januari (hari ini) terpaksa dibatalkan.

Pengarah Urusan Younder Music, Adam Kidron mengesahkan konsert tersebut dibatalkan kerana Anuar Zain didapati kehilangan suara serta tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"Pihak kami difahamkan Anuar telah kehilangan suara dan dia dinasihatkan supaya tidak meneruskan konsert seperti telah direncanakan.

"Biarpun ia amat mendukacitakan tetapi kami terpaksa mengutamakan kesihatan Anuar. Semoga dia cepat sembuh," katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu Lelaki Ini turut memohon maaf di atas pembatalan tersebut dan meminta semua mendoakan kesihatannya.

"Saya memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat di atas situasi yang tidak diduga ini.

"Ia merupakan keputusan yang amat sukar dilakukan.

"Diharap anda semua dapat mendoakan kesihatan saya," katanya.

Sebarang informasi terkini terutama tiket bakal dimaklumkan dalam masa terdekat.

Teks oleh Syafiqah Jalal