Penyanyi terkenal Siti Nordiana bakal menyanyikan lagu Hindi serta meniru gaya artis Bollywood terkemuka.

Semuanya bakal disaksikan dalam program terbaru berjudul Bollywood Express yang bakal menemui peminat pada setiap Ahad bemula 29 Januari ini di Astro Tara HD (saluran 108).

Menerusi Bollywood Express yang berdurasi 30 minit, rancangan tersebut bakal menampilkan selebriti Melayu popular Malaysia yang menjadi peminat tegar Bollywood. Selebriti-selebriti tersebut akan melakukan lakonan semula, tiru gaya artis, menyanyi dan berkongsi apa sahaja mengenai dunia Bollywood.

Selain Siti Nordiana, antara selebriti yang terlibat dalam program Bollywood Express Nubhan, Syamel, Ernie Zakri, Erra Fazira, Miera Leyana, Marsha Milan dan ramai lagi. Program Bollywood Express akan bersiaran setiap Ahad pada jam 7.00 petang.

Selain Bollywood Express, Tara HD turut memperkenalkan dua program terbaru yang turut sama disiarkan bermula 29 Januari ini.



Program Bolly Stage merupakan program terbaik untuk pencinta muzik Bollywood. Mereka berpeluang untuk menikmati karya muzik luar biasa dan menyanyi bersama penyanyi kegemaran mereka.

Dalam rancangan yang berdurasi 30 minit ini, penonton akan dihiburkan dengan nyanyian Abhijeet Bhattacharya, Palak Muchha, Armaan Malik dan ramai lagi. Bolly Stage akan bersiaran setiap Ahad jam 6.30 petang.

Kepada peminat aktor terkenal Shah Rukh Khan (SRK), jangan lupa saksikan Sensation SRK. Program 13 episod ini akan membawa penonton melayari kehidupan SRK bermula dari awal penglibatannya dalam dunia lakonan sehingga ke hari ini.

Saksikan jatuh bangun SRK dalam dunia hiburan Bollywood sehingga berjaya menempa nama sebagai salah seorang aktor paling berpengaruh di dunia. Sensation SRK bakal bersiaran setiap Ahad jam 7.30 petang.

Jangan lupa saksikan rancangan-rancangan menarik ini di Tara HD, saluran 108!