Penyanyi terkenal Jeniffer Lopez, 47, enggan mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan dia kini sedang menjalin hubungan cinta dengan rapper Drake.

Penyanyi yang mesra dengan panggilan J.Lo ini dikhabarkan semakin intim dengan rapper berusia 30 tahun itu.

Khabar itu bertebaran selepas pihak media melaporkan Drake menyewa sebuah restoran pada Disember lalu dan J.Lo hadir sebagai tetamu undangannya untuk makan malam bersama.

Restoran itu juga telah ditutup kepada orang ramai sementara 20 lagi tetamu turut diundang untuk menyertai pasangan selebriti berkenaan.

Mengukuhkan lagi dakwaan mereka sedang dilamun cinta, J.Lo turut memuat naik fotonya bersama Drake seperti sedang berbaring mesra.

“Dia hanya mengajak saya untuk berkolaborasi bersamanya dalam sebuah lagu. Mungkin lagu tersebut akan dimuatkan dalam album terbarunya,” kata J.Lo ringkas.

Sebelum ini, Drake yang popular dengan lagu Hotline Bling pernah menjalinkan hubungan dengan penyanyi terkenal Rihanna.

Sumber: ET Online