Pelakon yang terkenal dengan watak Jekfer dalam drama bersiri Kampung People, Hun Haqeem telah terlibat dalam sebuah kemalangan selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya pada awal pagi, Ahad.

Memetik laporan Harian Metro, Hun mengalami kecederaan yang serius di bahagian kedua-dua tumit dan perlu menjalani pembedahan secepat mungkin.

"Dia baru habis penggambaran sebahagian episod drama bersiri, Seindah Tujuh Warna Pelangi sekitar jam 8 malam tadi.

"Saya difahamkan dia kemudian main futsal dan kemalangan itu berlaku ketika Hun dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Dia menunggang motosikal namun saya tidak pasti kemalangan membabitkan kenderaan lain atau sebaliknya.

"Dia mengalami kecederaan agak serius di bahagian tumit kaki kanan dan disyaki kena ligamen.

"Dia perlu menjalani pembedahan secepat mungkin hari ini. Paling cepat masuk bilik pembedahan petang atau malam ini kerana Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sentiasa ada banyak kes," kata pengurus produksi, Ef Hairee.

Dalam pada itu, Ef menyatakan Hun perlu berehat dalam tempoh enam minggu sebelum kembali semula bekerja.

"Kini saya sedang memantau perkembangan Hun dan sekiranya pelakon terbabit belum pulih, saya akan meminda jalan cerita drama Seindah Tujuh Warna Pelangi.

"Dia dijangkakan perlu berehat dalam empat hingga enam minggu.

"Kami perlu cari inisiatif lain kerana drama 28 episod ini sedang ditayangkan di slot Akasia TV3 sekarang," katanya lagi.