Penyanyi Linda Rafar mengakui masih tidak puas untuk berkongsi mengenai kisah arwah anaknya Memen atau nama sebenarnya Rezaimen Keiflin.

Menurut bekas penyanyi kumpulan Elite itu, dia ingin hasilkan sebuah filem untuk menceritakan sepenuhnya mengenai pengalaman mempunyai anak syurga.

"Saya ingin menghasilkan sebuah filem untuk berkongsikan kisah hidup mengenai apa yang telah berlaku pada saya ketika menjaga Memen.

"Filem itu juga saya akan menceritakan tentang bagaimana cara untuk tabah dalam menghadapi dugaan dan bangkit kembali untuk meneruskan hidup setelah kehilangan anak.

"Dulu saya telah hasilkan novel 'Menunggumu Di Pintu Syurga' tetapi saya berasa tidak puas kerana dapat menyampaikan cuma 70% jalan penceritaannya jadi saya ingin hasilkan filem agar dapat menceritakan segalanya dalam filem tersebut.

"Ia juga merupakan satu platfom terbaik untuk sampaikan mesej yang bagus kepada orang ramai diluar sana dan memberi motivasi serta pengajaran kepada penonton," katanya kepada Astro Gempak.

Linda berkata demikian ketika ditemui pada sambutan ulang tahun kelahiran anaknya Rezaril Keiflin, di Crab Factory, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terdahulu, anaknya iaitu Rezaimen Keiflin meninggal dunia di usianya 11 tahun pada 5 Julai 2014 disebabkan barah perut atau 'Burkitt Lymphoma'.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi