Usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Aliff Syukri mengemukakan permohonan maaf atas kontroversi yang tercetus melibatkan keluarga balu Allahyarham Abam Bochey dan adik lelakinya, pelawak Ali Puteh.

Aliff, 33, berkata, dia turut bersedia untuk bertemu ahli keluarga Abam untuk menyelesaikan segala isu berbangkit berikutan perkongsian video live di Facebook miliknya tempoh hari.

"Di dalam situasi ini, saya amat kecewa atas segala apa yang dilemparkan kepada saya, tapi, saya tak nak membesarkan lagi isu ini, saya nak berdamai.

"Kami pun sebenarnya tidak menyangka benda ini berlaku dan tidak ada niat nak melagakan mana-mana pihak.

"Jadi, saya memohon maaf kepada Ali dan Hidayah. Saya pun bersedia untuk berjumpa dengan ibu Ali seperti yang diminta," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.



Jelasnya lagi, video yang dikongsikan di Facebook itu sebenarnya sudah mendapat persetujuan daripada Nor Hidayah untuk ditayangkan secara langsung di laman sosialnya.

"Selepas menjadi kecoh, saya terus menghubungi Hidayah bertanyakan sama ada mahu dipadam atau tidak, tetapi dia sendiri yang kata tak perlu.

"Walaupun saya tahu 1001 cerita (apa yang diceritakan Hidayah mengenai keluarga) biarlah saya simpan sendiri. Apa yang ditayangkan itu hanya 10 peratus sahaja," katanya.

Pada sidang media itu, Aliff turut menunjukkan rakaman video perbualan dirinya bersama Hidayah yang memberikan kebenaran kepadanya.

Terdahulu, Aliff Syukri yang membuat live di Faceebook ketika membuat kunjungan ke rumah balu arwah Abam, Nor Hidayah mencetuskan kekecohan apabila menyentuh isu sensitif melibatkan harta.

BACA: “Bertaubatlah Dan Minta Maaf Kepada Emak Kerana Dia Kecil Hati” - Ali Puteh Mahu Aliff Syukri Jumpa Ibu

Ekoran video yang dikongsikan di Facebooknya itu, Ali kemudian naik berang sehingga melabelkan kakak iparnya sebagai 'binatang'.

Namun, Ali kemudian memadam statusnya itu sebelum meminta maaf atas keterlanjurannya itu.