Baru-baru ini muncul satu cabaran terbaru di aplikasi Tik Tok dikenali sebagai 'tripping jump challenge'.

Cabaran ini merupakan satu aksi yang mana seorang individu berada ditengah akan melompat manakala dua orang lagi yang berada di sebelah akan menyepak kaki individu di tengah itu.

Tarian ini telah viral dan menjadi ikutan ramai khususnya golongan muda.

Namun, dalam pada keterujaan tersebut, seorang doktor tampil mendedahkan cabaran itu sebenarnya mampu menyebabkan kematian.

Menerusi satu posting di Twitter, Pegawai Perubatan Sarjana Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Dr Mohd Shaiful Nizam menjelaskan cabaran itu boleh memberi risiko buruk seperti kelumpuhan anggota badan dan kematian.

"Aksi ini sangat bahaya mampu menyebabkan keretakan tempurung kepala dan pendarahan dalam kepala mengakibatkan individu itu akan pengsan secara tiba-tiba.

"Selain itu ianya mampu memberi kecederaan atau kepatahan kepada tulang belakang dan seterusnya menyebabkan kelumpuhan badan andai terkena saraf utama," katanya.

Tambahnya, kecederaan pada organ dalaman dan kesakitan kronik pada tulang belakang juga merupakan risiko yang boleh terjadi.

"Terbaru ada dilaporan seorang remaja di Brazil telah maut akibat perbuatan aksi ini.

"Tripping Jump Challenge bagi saya bukan satu keseronokan baru, tetapi lebih kepada membawa maut," katanya.

Anda boleh lihat posting berkenaan di bawah.