Pernah melalui episod kegagalan rumah tangga, penyanyi Azharina Azhar belum terbuka hati untuk menerima kehadiran insan bernama lelaki dalam hidupnya.

"Saya akui ada lelaki yang cuba mendekati saya. Namun begitu, saya sendiri meletakkan batas dengan menyekat hasrat mereka untuk berkenalan.

"Sejujurnya, hati saya masih belum terbuka untuk menerima kehadiran lelaki. Saya tak pernah terfikir untuk kembali menjalinkan hubungan cinta buat masa ini," kata Azharina kepada Astro Gempak.

Tambah Azharina, dia mahu kembali merancakkan kembali kerjaya seninya selepas memenangi program realiti GegarVaganza musim ketiga (GV3) tahun lalu.

"Buat masa sekarang, saya mahu kembali fokus dalam mengatur langkah dalam bidang nyanyian. Saya bersyukur kerana selepas GV3 tamat, peminat kembali menerima kehadiran saya dalam bidang nyanyian," katanya lagi.

Ketika ditanyakan ciri-ciri lelaki idamannya, Azharina mahu seorang lelaki yang bertanggungjawab dan berkemampuan.

"Saya inginkan seorang lelaki yang bertanggungjawab dan berkemampuan. Dia haruslah dapat menerima saya seadanya dan faham dengan kerjaya saya.

"Lelaki tersebut juga haruslah menyayangi saya dan dapat menerima kehadiran anak saya dalam hidupnya," katanya mengakhiri perbualan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal