Pelakon Mia Ahmad yang juga isteri kepada penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan bakal menetap di Johor Bahru demi suami tercinta.

Mia atau nama penuhnya Samihah Ahmad Baderi berkata, dia akan berulang-alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur sekiranya perlu.

"Memang dari awal lagi saya dan Izham sudah berbincang mengenai perkara ini. Apabila kami berkahwin, saya perlu mengikutnya menetap di Johor Bahru.

“Tidak timbul isu saya dipaksa atau terpaksa. Lagipun, sebagai pasangan yang baru berkahwin, lebih baik saya mengikut suami.

"Namun begitu, bukanlah bermakna saya tinggalkan dunia seni. Kerjaya saya di bidang ini pun baharu masuk tahun kedua.

“Saya akan berulang alik dari Johor ke Kuala Lumpur jika ada keperluan berbuat begitu. Cuma pada peringkat awal perkahwinan kami, saya kena fokus pada rumah tangga yang baharu dibina. Dia pun memahami," katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian Online.

Mia sah bergelar isteri kepada Mohd Izham Tarmizi kira-kira jam 10.18 pagi tadi dalam majlis yang berlangsung di Taiping Sentosa Villa, Perak.

Mereka disatukan sebagai suami isteri di hadapan kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga terdekat kedua-dua pihak, selain kenalan rapat.

Pada majlis itu, Mia menerima mas kahwin RM2,000 selain menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin lelaki, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Malam esok, pasangan ini akan diraikan pula pada majlis resepsi di Taiping Golf and Country Club, Taiping.

Dijangka lebih 1,000 tetamu bakal memeriahkan majlis berkenaan. Sebuah majlis turut dirancang di Kuala Lumpur, hujung Mac nanti.

Sumber: Berita Harian Online

Foto: Instagram Mia Ahmad