Pelakon terkenal Aaron Aziz mahu memberikan lebih fokus kepada keluarga pada tahun 2017.

Mengecapi populariti sebagai pelakon di Malaysia, Aaron tidak mempunyai rancangan yang mahu dicapai pada tahun ini.

"Jika ditanya soal apa yang saya mahu capai pada tahun 2017, sejujurnya, saya tidak meletakkan sebarang sasaran.

"Saya cuma mahu meneruskan hidup saya dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

"Anak-anak saya pun semakin membesar, jadi kalau boleh, saya mahu memberikan fokus kepada famili," kata Aaron kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya adakah Aaron bakal memperlahankan rentak kerjaya pada tahun ini, pelakon filem Ombak Rindu ini percaya kepada ketetapan rezeki.

"Saya yakin, aturan kerjaya dan rezeki itu tidak ke mana-mana. Rezeki itu sudah ditentukan oleh Allah.

"Saya percaya yang jika kita mengutamakan keluarga dalam kehidupan, rezeki itu bakal datang sendiri, Insya-Allah," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Aaron muncul dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan yang baru sahaja selesai ditayangkan di Astro Ria dan Astro Ria HD.

Pelakon drama bersiri Tuan Anas Mikael ini bakal muncul dengan dua filem terbaru yang menanti masa untuk ditayangkan di pawagam tahun ini.

Filem bertajuk Kau Yang Satu arahan Osman Ali menyaksikan gandingan Aaron bersama Izara Aishah dan Soo Wincci manakala filem bertajuk Sayu Yang Syukur menampilkan gandingan Aaron bersama Nora Danish.

Sayu Yang Syukur merupakan filem kedua arahan Aaron selepas filem Romeo Kota yang ditayangkan pada 2015.

Teks oleh: Kamaruddin Razal