Belum tamat acara gilang gemilang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 34 malam tadi (Ahad) viral di media sosial tentang persembahan penyanyi Aina Abdul.

Aina yang menyampaikan lagu Sumpah itu didakwa membuat persembahan berkonsep memudaratkan diri, melampau dan melanggar peraturan serta melanggar peraturan kandungan media.

Laman Facebook (FB) Public Health Malaysia telah memuat naik posting mengenai persembahan Aina dan menjadi tular di sosial media.

“Sangat mengejutkan. Apakah sudah tiada idea kreatif lain sehingga mendesak untuk melakukan persembahan yang berkonsepkan memudaratkan diri di pentas AJL tahun ini? Stesyen TV dan produksi sepatutnya sudah sedia maklum dengan larangan adegan sedemikian di media.

"Mengikut pengacara, dalam persembahan tersebut, penyanyi yang berpakaian serba putih telah mencucuk dadanya sehingga cecair seperti darah membuak buak keluar membasahi pakaiannya. Skrin latar mempamerkan warna seperti darah pekat yang mengalir.

"Ternyata persembahan seperti ini memberi mesej yang SALAH kepada audiens mengenai kekesalan kekecewaan dalam percintaan sehingga perlu digambarkan dengan adegan yang agak sadis sebegitu.

"Persembahan seperti ini jelas telah melanggar Guidelines For Media Reporting on Suicide yang melarang sebarang bentuk adegan memcederakan diri atau memudaratkan diri dengan menunjukkan/menjelaskan cara dan kaedah untuk melakukannya," dakwa admin.

Tambah admin lagi, persembahan sedemikian boleh mendorong individu yang memiliki masalah mental untuk melakukan perbuatan berbahaya tersebut.

"Bagi individu yang memiliki masalah mental, adegan seperti ini boleh menyebabkan TRIGGER yang boleh menggangu pemikiran dan mungkin mendorong mereka melakukan perbuatan yang merbahaya juga.

"Bagi memastikan perkara seperti ini TIDAK BERULANG kami ingin memohon masyarakat untuk membantu untuk membuat perlaporan kepada Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF).

Posting yang telah menerima 6 ribu komen dengan 7 ribu perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi warga net.

Ada yang bersetuju dengan admin namun ramai juga yang berpendapat laman FB tersebut tidak memahami konsep yang cuba diketengahkan Aina.

Warga net turut menjelaskan kepada admin persembahan Aina adalah kesinambungan daripada muzik video Sumpah yang dibawa ke pentas akhir AJL 34.