Pelakon Song Seung Heon akui gementar berlakon bersama pelakon berpengalaman, Lee Young-ae.

Menurut pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Autumn in My Heart pada tahun 2003 itu, dia tidak menyangka dapat berlakon bersama pelakon hebat seperti Lee Young-ae.

"Pada hari pertama berjumpa Lee Young-ea, saya sangat gementar kerana bagi saya dia seorang pelakon yang berpengalaman dan hebat.

"Akibat terlalu gementar, saya telah melakukan banyak kesilapan ketika berlakon bersama sepanjang penggambaran.

"Walaubagaimanapun, saya juga terkejut selepas dia beritahu yang dia gementar berlakon dengan saya.

"Saya tidak pernah membayangkan untuk berlakon dengan Lee Young-ae kerana dia merupakan seorang pelakon yang begitu popular dan hebat.

"Saya amat berbesar hati dan gembira kerana dapat bekerjasama dengannya dalam drama bersiri Saimdang," katanya kepada Astro Gempak.

Seung Heon berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama bersiri terbaharu, Saimdang, di Hotel Carlton, Singapura, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Seung Heon juga turut menyatakan rasa terharu melihat sokongan yang diberikan oleh peminat terhadap terhadap drama bersiri Saimdang.

“Ini merupakan kali ketiga saya datang ke Singapura dan saya teruja bertemu dengan peminat di sini," katanya.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Saimdang secara eklusif untuk dua episod pertama pada masa yang sama seperti Korea bermula 26 Januari ini pada pukul 9 malam.

Siamdang akan bersiaran di saluran Oh!K (saluran 394) pada setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi