Penyanyi baru kelahiran Singapura, Harris Baba membahagikan masa di antara dunia nyanyian dan lakonan yang diceburinya.

Muncul di persada lakonan menerusi drama bersiri Isteri Tuan Ihsan, Harris gembira kemunculan pertamanya mendapat respon positif.

"Pada awalnya, saya rasa bidang lakonan memberikan cabaran yang sukar untuk saya tempuhi. Penguasaan Bahasa Melayu saya agak lemah.

"Sebelum ini di Singapura, saya banyak berlakon tetapi dalam Bahasa Inggeris. Saya mencabar diri sendiri untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu ketika saya berlakon dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan.

"Alhamdulillah, respon yang diterima selepas drama bersiri itu ditayangkan positif. Selepas ini, saya akan kembali fokus dalam bidang nyanyian semula.

"Kalau boleh, saya mahu mencuba untuk membahagikan masa dalam kedua-dua bidang kerjaya ini. Sebagai seorang selebriti, penting untuk saya menjadi seorang anak seni yang serba boleh," kata Harris kepada Astro Gempak.

Popular dengan single yang berjudul Katakan, Harris bakal muncul dengan single kedua tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, Katakan mendapat sambutan yang begitu baik di kalangan pendengar. Untuk single kedua, saya mahu memberikan sesuatu yang berbeza untuk peminat saya.

"Single kedua saya nanti akan menampilkan genre yang berlainan berbanding Katakan. Saya bakal memasuki studio rakaman tidak lama lagi dan saya berharap agar peminat sabar menantikan single kedua saya," katanya ketika ditemui di Majlis Meet & Greet Eksklusif Isteri Tuan Ihsan di Flora Terrace, Kuala Lumpur pada Selasa.

Majlis Meet & Greet Eksklusif Isteri Tuan Ihsan ditaja oleh Chriszen bersama Astro Circle, Suria Resorts & Hotel, Rollin' Oats dan Peti Gambar Photobooth.

Jangan lupa saksikan episod akhir drama bersiri Isteri Tuan Ihsan pada jam 10.00 malam ini di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal