Penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura dan bintang baharu, Harris Baba mengakui saling membantu untuk memastikan gandingan mereka sempurna di pentas Duo Star.

Ning Baizura ketika ditemui Astro Gempak berkata, walaupun Harris seorang pendatang baru tetapi dia yakin dengan bakat dimiliki dan potensi penyanyi muda itu dalam bidang nyanyian pada masa hadapan.

"Sebagai pasangan dalam Duo Star kami kena saling membantu dan saya sebagai penyanyi lebih senior, menjadi tanggungjawab saya untuk membimbingnya dengan pengalaman yang saya ada.

“Harris masih baru dan masih banyak yang perlu diperbaiki tetapi saya jadikan ia sebagai cabaran dan saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan dia.

“"Lagipun dia adalah seorang yang cepat belajar dan sentiasa memberikan pendapat dalam memastikan persembahan kami bertenaga dan segar.

“Vokal kami ada keserasian, sebab itulah saya akan pastikan kami memberi yang terbaik untuk dipersembahkan setiap minggu,” katanya.

Sementara itu, Harris pula berasa teruja apabila diberi kesempatan untuk berduet dengan Ning Baizura di dalam Duo Star.

“Saya akan kutip pengalaman dan belajar daripada Ning. Dia juga tidak pernah lokek berkongsi ilmu kepada saya serta banyak membantu dalam Duo Star,” katanya.

Bagaimanapun pasangan ini tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk memenangi Duo Star kerana bagi mereka yang paling penting ialah hasil daripada penyertaan menerusi program itu nanti.

"Adat bertanding siapa tidak mahu menang tetapi pada saya ada perkara lebih besar daripada bergelar juara.

"Fokus yang lebih penting adalah hasil dan perkara perlu kami lakukan selepas program ini tamat nanti," kata Ning.

Selain Ning dan Harris, Duo Star turut memperlihatkan persaingan daripada tujuh lagi pasangan duet iaitu Syamel & Ernie Zakri, Asfan & Aweera dan Ila Damiaa & Yasin.

Turut bertanding Haiza & Epul Drama Band, Ronnie Hussein & Sarah Fazny, Awi Rafael & Kaka Azraff dan Firman & Ayai.

Duo Star merupakan sebuah program yang memperlihatkan penyanyi profesional berganding dengan pasangan duet untuk membuat persembahan.

Duo Star ditayangkan pada setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).