Pelakon dan penyanyi popular Marsha mengakui memaksa diri untuk berlakon teater, dan menganggap ia satu cabaran yang harus disahut demi mengembangkan kariernya.

Oleh kerana itulah, Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 32, menerima tawaran untuk berlakon dalam pementasan teater Dia Semanis Honey.

"Sebenarnya banyak tawaran berlakon teater saya dapat sejak dulu lagi namun semua itu saya tolak kerana tidak yakin yang saya mampu melakukannya.

"Namun bila difikirkan kembali sampai bila saya hendak takut untuk berlakon teater jadi saya mengambil pendekatan untuk cabar diri saya kali ini.

"Kalau dahulu saya penakut dan tidak ada sesiapa yang paksa saya untuk berlakon teater, tapi kali ini Michael Ang gesa saya supaya bersama-sama dengan dia dalam teater muzikal Dia Semanis Honey.

"Saya tanam semangat dan yakinkan diri saya sendiri bahawa saya boleh berlakon di pentas teater dan saya bersyukur kerana rakan-rakan yang sama-sama berlakon teater ini sentiasa memberikan kata-kata semangat buat saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Marsha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas pementasan Dia Semanis Honey, di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari ini.

Selain Alif Satar, pelakon lain yang terlibat ialah Siti Nordiana, Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman web www.airasiaredtic.com.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi