Anggota kumpulan BigBang, Taeyang tidak dapat menyembunyikan kerisauannya terhadap peminat yang kesejukan kerana menunggu BigBang sehingga habis persembahan.

Disebabkan perkara itu, Taeyang atau nama sebenarnya Dong Young Bae telah menyewa satu ‘food truck’ sebagai tanda terima kasih.

Para peminat Bigbang dapat menikmati minuman panas, roti dan juga sejenis kuih berbentuk ikan yang sememangnya popular ketika musim sejuk.

Selain ‘food truck’, Taeyang juga turut menyampai ucapan terima kasih kepada para peminat mereka menerusi ‘bunting’ yang diletakkan bersebelahan lori tersebut.

“Sorakan kuat V.I.P banyak memberikan semangat kepada kami,” tulisnya.

Perkara tersebut berlaku ketika BigBang membuat persembahan untuk mempromosikan album penuh terbaru mereka MADE dalam program Inkigayo baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, Taeyang kemudiannya memuatnaik foto lori beserta makanan tersebut di akaun Instagramnya @ __youngbae__ dengan kapsyen: “Eat Up”.

Dalam pada itu, ruangan komen foto tersebut dihujani dengan kata-kata positif dan rata-rata peminatnya berterima kasih dengan sikap prihatin penyanyi berkenaan.

Teks oleh: Mya Amri