Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin bakal tampil buat julung kalinya beraksi di pentas berprestij Istana Budaya, Kuala Lumpur menerusi penglibatannya dalam teater berjudul Korupsi Dewan Semandung.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza berkata, dia bersetuju untuk terlibat dalam pementasan teater itu kerana tertarik dengan judul naskhah tersebut

"Saya tidak tahu sejauh mana peranan saya dalam teater ini, namun yang saya tahu, saya mesti menyumbang sesuatu dalam dunia (seni) ini. Tak adalah sampai nak jadi pelakon.

"Saya tak tahu jalan ceritanya lagi, cuma saya tertarik dengan perkataan korupsi. Itu yang saya rasa boleh (lakukan), lagipun itulah topik yang selalu saya sampaikan.

"Cuma saya tak tahu korupsi tentang apa kerana perkataan itu mempunyai interpretasi yang luas," katanya pada sidang media teater Korupsi Dewan Semandung yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.

Teater yang bakal diarahkan oleh pengarah Khir Rahman itu diterbitkan Ogy Ventures & Network Sdn. Bhd yang merupakan syarikat produksi aktres terkenal, Fauziah Ahmad Daud.



Jelas Dr. Maza lagi, beliau tidak mempunyai masalah untuk terlibat dalam pementasan teater tersebut memandangkan dirinya perlu memegang watak sebagai diri sendiri sahaja.

"Saya diberitahu perlu jadi diri sendiri, maksudnya peranan yang biasa saya lakukan iaitu memberi pandangan, macam kerja hari-hari.

"Kalau saya tengok ada mesej yang bagus untuk saya sampaikan kepada khalayak itu satu penglibatan yang bagus. Ini satu pengalaman baru untuk terlibat dengan artis," ujar beliau.



Antara pelakon lain yang bakal membintangi teater itu nanti ialah barisan pelawak Vicha, Tauke, Abam Bocey, Mark Adam, Joey Daud, Azrul Chemat, Tapai dan Chiwan serta pelakon baharu, Hanna Halim.

Teater yang mengangkat genre komedi seram itu akan dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Februari depan.