Pelakon jelita Amyra Rosli mendedahkan dirinya berhadapan cabaran untuk membawakan watak Seroja Irdina dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan.

Watak Seroja yang dijayakan oleh Amyra mendapat pujian dan menjadi bualan peminat drama bersiri ini kerana kenakalannya ‘membuli’ karakter Tuan Ihsan yang dibawakan oleh Aaron Aziz.

“Bukan mudah untuk saya bawakan watak Seroja Irdina. Seroja merupakan seorang gadis yang bersifat hyperactive, jadi saya harus mengekalkan tenaga tersebut. Walaupun kadangkala babak Seroja dijayakan pada jam 2.00 pagi, saya harus mengekalkan tahap tenaga yang sama.

“Saya juga tak boleh over gedik kerana takut karakter tersebut lari dengan watak Seroja. Namun begitu, saya bersyukur kerana mendapat maklumbalas positif pengarah serta penerbit drama bersiri ini. Peminat saya juga gemarkan watak Seroja yang saya bawakan.

“Saya bersyukur kerana gandingan pertama saya bersama Aaron membuahkan hasil. Perkara tersebut membuatkan saya gembira dan menjadi pemangkin untuk saya memberikan mutu lakonan yang lebih baik lagi dimasa akan datang,” kata Amyra kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, isteri kepada aktor Amar Baharin ini juga mengakui banyak faktor yang turut membuatkan dirinya berjaya membawakan watak Seroja dengan cemerlang.

“Banyak faktor yang membantu saya dalam menjayakan watak Seroja. Selain karakter yang berbeza berbanding watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini, jalan cerita Isteri Tuan Ihsan turut membantu.

“Selain itu, bergandingan dengan pelakon lain yang berpengalaman seperti Aaron Aziz, Nazia Mustafar dan Qazem Nor turut membantu saya menjayakan watak Seroja,” katanya ketika Majlis Meet & Greet Eksklusif Isteri Tuan Ihsan di Flora Terrace, Kuala Lumpur pada Selasa.

Majlis Meet & Greet Eksklusif Isteri Tuan Ihsan ditaja oleh Chriszen bersama Astro Circle, Suria Resorts & Hotel, Rollin' Oats dan Peti Gambar Photobooth.

Jangan lupa saksikan drama bersiri ini yang sudah memasuki siaran minggu akhir pada setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal