Pelakon dan penyanyi Alif Satar akui terpaksa mendapatkan suntikan di punggung kerana mengalami masalah kesihatan beberapa jam sebelum pementasan Dia Semanis Honey bermula.

Menurut Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 27, dia terpaksa melakukan suntikan tersebut kerana mahu melakukan pementasan dengan baik.

"Sebenarnya apa yang saya risaukan selama ini terjadi sebelum bermulanya pementasan Dia Semanis Honey.

"Saya mengalami demam sebelum beberapa jam bermulanya pementasan tersebut dan risau tidak dapat melakukan persembahan dengan baik.

"Namun selepas mendapat suntikan di punggung oleh doktor keadaan kesihatan saya makin pulih dan sihat semula walaupun tidak sepenuhnya.

"Saya demam mungkin kerana ketika latihan di Istana Budaya, penghawa dingin yang sejuk mungkin memudaratkan kesihatan dan memberi kesan kepada pelakon," katanya kepada Astro Gempak.

Alif berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas pementasan Dia Semanis Honey, di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Tambah Alif, dia berasa berpuashati kerana dapat melakukan persembahan dengan baik untuk pementasan pada malam pertama dan berharap tahap kesihatannya sentiasa baik untuk hari yang berikutnya.

Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari 2017.

Selain Alif Satar, pelakon lain yang terlibat ialah Siti Nordiana, Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman web www.airasiaredtic.com.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi