Bersempena hari pertama persekolahan hari ini, pelawak dan penyampai radio kumpulan Sepahtu turut mendaftar bersama kanak-kanak tahun satu di sebuah sekolah rendah.

Menerusi entri di Instagram (IG), Sepahtu yang lengkap berseragam sekolah rendah turut bersama murid-murid lain di dalam kelas ketika mengadakan siaran luar Sepahtu Milo Sinar di Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil.

Mereka juga dilihat turut menghiburkan kanak-kanak di sekolah berkenaan dan mewujudkan suasana ceria bagi memeriahkan hari pertama sesi persekolahan pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Sepahtu juga kini muncul dengan rancangan baru iaitu Sepahtu Reunion Live bersiaran pada setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam, bermula 18 Disember lalu selama 10 minggu.

Ia ditayangkan secara ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134).

Sepahtu Reunion Live merupakan sebuah rancangan Sitkom komedi pertama yang disiarkan secara langsung dengan menampilkan 4 orang pelakon komedi tetap dan diserikan dengan tetamu jemputan menerusi pelbagai topik menarik yang akan dilakonkan selama 1 jam.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi