Sehari selepas bergelar suami isteri, penyanyi Sasha Saidin didakwa sebagai perampas dan punca suaminya, Sirhan Wahab bercerai dengan isteri-isterinya sebelum ini.

BACA: Selamat Bernikah Kali Ketiga, Ini Wajah Suami Baru Sasha Saidin

Namun jelas Sasha, 43, dia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit dan enggan mengambil pusing kisah yang tidak benar.

"Semua itu tidak benar kerana saya hanya rapat dengan suami pada Jun 2019. Kami cuma terkejut apabila seseorang itu sanggup sampai tulis email kepada media untuk membuat fitnah tentang kami. Tak apa. Tuhan itu Maha Adil dan Saksama.," katanya kepada Gempak.

Malah, bekas anggota kumpulan Elite itu memberitahu dia tidak terkesan dengan dakwaan tidak sahih itu dan mahu meneruskan mahligai rumah tangga yang dibinanya pada Isnin dengan aman.

"Tak mengapa, kita tahu kita tak buat apa-apa salah pun. Kami tahu siapa yang tulis emel itu dan apa motif mereka untuk membuat cerita fitnah itu tapi kami maafkannya," tambahnya.

Sebuah blog hiburan melaporkan suami Sasha, Sirhan telah mengabaikan tanggungjawab suami dan bapa kepada dua cahaya mata demi mengejar cinta Sasha.

Malah, difahamkan Sasha dan Sirhan telah menjalinkan hubungan sulit sejak Oktober 2015 dan pernah bercuti bersama-sama ke Itali dan Belanda pada 2019.

Dalam pendedahan sama, keluarga Sirhan juga dikatakan tidak merestui perkahwinan mereka berdua.

Sirhan dikatakan telah mengahwini seorang wanita dari Kuala Lumpur dan dibawa tinggal bersama di Dubai namun telah bercerai pada Ogos 2019 selepas wanita itu bersalin.