Dunia hiburan sepanjang 2016 turut berasa sedih pemergian insan seni yang benar-benar berjasa dalam kerjaya seni yang sukar dicari ganti.

Mudah-mudahan mereka beroleh rahmat daripada Allah. Al-Fatihah

1) Tan Sri SM Salim (1928 – 2016)
Baru sahaja meninggalkan kita, Biduan negara Tan Sri SM Salim yang meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 5.45 petang, semalam (29 Disember). Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di rumah anaknya yang terletak di Sering Ukay, Ulu Klang, Ampang.

SM Salim memulakan kerjayanya sebagai seorang penyanyi pada 1950-an terkenal dengan lagu-lagu Melayu klasik dan menjadi pejuang irama tradisional.

2) Salleh Brothers (1976 – 2016)
Anggota kumpulan nasyid Brothers iaitu Mohd Salleh Mohamed Deril, 40, meninggal dunia pada pukul 3.25 petang Khamis, 6 Oktober, di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Allahyarham meninggal dunia akibat darah tinggi dan serangan jantung selepas dimasukkan ke hospital.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata.

3) Pelawak veteran Pie (1931 – 2016)
Pelawak veteran Pie atau nama sebenar Shafiee Jaafar, 85 tahun, meninggal dunia kerana sakit tua pada pukul 9 malam, 11 Ogos 2016.

Allahyarham Pie menghembuskan nafas akhir di kediaman anaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

4) Aziz Singah (1941 – 2016)
Pelakon veteran Datuk Aziz Singah, 74, meninggal dunia di kediamannya di Seri Kembangan, Serdang pada pukul 11.10 malam Jumaat, 1 Julai yang lalu akibat kanser prostat.

Aziz Singah yang popular pada era 1980-an pernah membintangi banyak drama namun lakonannya dalam PJ Holding antara karya yang diingati sehingga ke hari ini.

Beliau juga pernah berlakon dalam beberapa buah filem termasuklah Maria Mariana terbitan Skop Productions.

5) Mr. Os (1961 – 2016)
Perginya Mr. Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid meniggalkan kesan kepada industri lawak tanah air. Pelawak veteran ini juga merupakan seorang pelakon, penyanyi dan pengacara.

Mr. Os telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 8 April pada usia 55 tahun.

6) Datuk Adnan Abu Hassan (1959 – 2016)
Komposer tersohor, Datuk Adnan Abu Hassan, 57, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.17 pagi, 18 March, di Hospital Selayang.

Adnan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan kerana serangan angin ahmar, diabetes dan kegagalan buah pinggang dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Antara karyanya yang pernah popular suatu ketika dahulu ialah Teratai Layu Di Tasik Madu, Jerat Percintaan, Bunga-Bunga Cinta serta Puncak Kasih.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi