Hasrat untuk rakyat Malaysia melihat karya animasi Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal tercalon pada Oscars ke-92 tidak kesampaian apabila filem berkenaan gagal ke pencalonan akhir.

Bersaing dalam kategori Filem Animasi Rencana Terbaik, Upin dan Ipin: Keris Siamang terpaksa akur dengan lima filem animasi yang lain.

Animasi yang tercalon itu termasuklah How To Train Your Dragon: The Hidden World, I Lost My Body, Klaus, Missing Link dan Toy Story 4.

Menerusi laporan Astro Awani, Pengarah Urusan Les' Copaque Production Burhanuddin Md Radzi mengakui, keputusan itu sudah dijangkakan pihaknya kerana persaingan yang amat sengit.



"Sebenarnya pihak kami sudah menjangkakan keputusan ini, tetapi kami tetap bangga disenaraikan dalam pencalonan awal.

"Bukan mudah untuk bersaing dengan 31 pilihan lain, kita semua tahu anugerah ini kalau boleh semua orang nak bertanding.

"Apa yang lebih menyukarkan, pemilihan adalah mengikut sistem pengundian yang melibatkan pengundian daripada 300 juri," katanya.

Untuk pengetahuan anda, pengumuman senarai calon Anugerah Oscars dibuat menerusi laman web dan saluran YouTube Oscars sekitar jam 9 malam semalam.

Anugerah Oscars pula bakal berlangsung pada 9 Februari ini.

Sumber : Astro Awani