Pelakon, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein mengakui gemuruh menanti tarikh pernikahan yang bakal berlangsung minggu hadapan.

Kurang 10 hari menuju tarikh istimewa, persiapan untuk majlis yang ditunggu-tunggu itu sudah menjangkau 80 peratus.

"Saya gemuruh! Sebenarnya, jika nak diikutkan, banyak perkara yang saya rasakan. Semuanya bercampur baur, ada seronok, teruja, gementar dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, setakat ini persiapan sudah selesai 80 peratus dan tinggal beberapa perkara lagi yang harus dilakukan," kata Elly ketika dihubungi Gempak.

Dalam pada itu, Elly yang mesra disapa dengan panggilan Kak Lina Pom Pom ini mendedahkan dia tak sabar mahu menoktahkan zaman ibu tunggal.

"Saya tak sabar mahu menyandang status isteri semula dan saya berharap agar semua proses menuju majlis nanti berjalan lancar. Insya-Allah, doakan yang baik-baik!" kata Elly lagi.

BACA: Tahniah Kak Lina! Elly Mazlein Selamat Bertunang

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya, Mohamad Azlan, 29, yang merupakan seorang guru dari Kelantan pada 17 Januari depan.

Selamat bertunang pada 17 Disember lalu, Elly masih belum mendedahkan wajah bakal suaminya dan bakal melakukan perkara terbabit di majlis berinai nanti.

BACA: Elly Mazlein Kahwin Cikgu Kelantan 17 Januari 2020

Terdahulu, Elly pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia.

Namun pasangan ini bercerai pada 15 Oktober 2015.