Pelakon dan pengacara Lisa Surihani bersyukur kerana dilimpahkan rezeki yang tidak putus-putus daripada Allah SWT.

“Alhamdulillah, rezeki daripada Allah SWT. Saya Cuma mahu lakukan yang terbaik untuk keluarga saya.

“Saya juga mahu menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Itulah doa saya setiap hari. Jika ditanya apa azam baru saya menjelang 2020, jujur saya tidak ada azam.

“Saya mahu melakukan yang terbaik sebagai isteri, anak, ibu dan rakan,” katanya.

Dalam pada itu Lisa juga percaya, jika sesuatu yang dirancang itu tidak terlaksana ia adalah ketentuan daripadaNYA.

“Kita merancang tetapi Allah yang tentukan. Apa yang boleh kita lakukan ialah berdoa dan memohon daripadaNYA.

“Apapun jika apa yang dirancang tidak menjadi, kita kena terima ketentuan daripada Illahi tapi yang penting jangan penat untuk berusaha,” katanya.

Terkini, Lisa merupakan salah seorang juri tetap Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 dan berharap agar semua peserta dapat melakukan yang terbaik di pentas finale, Jumaat ini.

“Lisa tahu tak mudah buat mereka, tetapi mereka (bintang MLM) sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

“Siapapun yang menjadi juara, itu adalah rezeki yang tidak bergelar juara pun sebenarnya sudah menjadi juara apabila berjaya menjadi lima yang terbaik di antara yang terbaik,” katanya.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).