Pelakon Norish Karman akui sudah memulakan karier barunya sebagai penyampai berita dan seronok sudah semakin membiasakan diri dengan tugasan tersebut.

Memulakan tugasan barunya sejak beberapa bulan yang lalu, Norish berkata, dia tidak berasa malu sekiranya dikenali sebagai pembaca berita selepas ini.

"Cara saya memohon untuk jadi pembaca berita sama seperti orang lain, saya hantar resume dan pada waktu itu saya tak fikir pun yang saya ini seorang selebriti.

"Malu? Ish tak adalah, buat apa nak malu ini kan rezeki. Lagipun ini proses pembelajaran dan saya tak kisah pun jika ditegur kalau ada buat salah.

"Seronok sebenarnya jadi pembaca berita, banyak benda saya dapat tahu dan ini merupakan salah satu minat saya," katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Norish merupakan penyampai berita di saluran Bernama News Channel (BNC).

Dalam pada itu mengulas mengenai karier lakonannya, Norish memberitahu pihak pengurusannya tidak menghalang untuk dia meneruskan kerjaya lakonannya.

"Alhamdulillah, pengurusan di BNC tak halang saya jika saya ingin terus berlakon.

"Mereka juga faham dengan kerjaya asalkan kerjaya lakonan itu tidak mengganggu atau bertindih dengan jadual saya sebagai pembaca berita.

"Saya berterima kasih kepada pihak BNC kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi penyampai berita.

"Saya harap saya dapat bahagikan masa dengan baik diantara kerjaya lakonan dan juga bidang penyiaran." ujarnya.

Dalam perkembangan terbaru, Norish bakal kembali memasuki set penggambaran sebuah drama 60 episod tidak lama lagi