FILEM: Bo-Peng
PENGARAH: Helmi Yusof
PELAKON: Nabil Ahmad, Johan As’ari, Zulin Aziz, Sofi Jikan, Wanna Ali, Fauzi Nawawi, Juzzthin
PENERBIT: Dato Normashayu Puteh
TARIKH TAYANGAN: 22 Disember 2016

Bo-Peng merupakan filem keempat terbitan Pencil Pictures & Records Sdn Bhd bergenre aksi komedi dan suspen hasil lakonan daripada watak utamanya Bo (Nabil Ahmad) dan Peng (Johan As’Ari).

Filem ini mendapat garapan daripada pengarah Helmi Yusof yang sudah berpengalaman jauh dalam bidang pengarahan filem.

Selepas menonton filem ini, penulis merasakan Helmi begitu bijak mengabungkan unsur komedi
dengan aksi-aksi yang mendebarkan malah lebih baik jika hendak dibandingkan dengan filem terdahulunya, Bikers Kental.

Sebagai pengarah, Helmi juga berjaya menyusun jalan cerita dengan baik dan smooth.

Apa yang cuba untuk ditonjolkan dalam jalan cerita Bo-Peng ialah kegilaan masyarakat yang terlalu taksub mengunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter memuat naik gambar dan ‘check in’ membuatkan diri seseorang mudah terdedah dengan ancaman bahaya daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kerjasama dan penghayatan watak oleh pelakon-pelakon lain seperti Wanna Ali, Zulin Aziz, Sofi Jikan, Fauzi Nawawi, Juzzthin menjayakan filem ini juga bersahaja dan tidak dibuat-buat.

Meskipun filem ini tidak berat ditonton oleh semua lapisan umur dan masyarakat, mesej yang cuba disampaikan oleh Helmi amat mudah difahami.
Secara keseluruhan, filem Bo-Peng tidak membuatkan anda rasa mengantuk mahupun lesu kerana setiap babak komedi yang ditunjukkan buatkan anda tidak kering gusi.

Sinopsis:

Dalam filem ini Bo-Peng bersahabat baik dan bekerja di tempat yang sama iaitu Opiel Secrets Pizza selaku mengambil pesanan dan menghantar pesanan pizza.

Dipendekkan cerita, Peng (Johan As’ri) mempunyai kekasih yang dikenali menerusi Facebook iaitu Mira Edora Senrose (Zulin Aziz).

Namun, Peng dan Mira Edora Senrose tidak pernah bersua muka dan hanya berbual mesra serta manja dalam telefon sahaja.

Pada satu hari, Mira telah diculik oleh penculik bersiri ketika berbual dengan Peng sehingga menyebabkan keadaan menjadi huru hara.

Bo (Nabil Ahmad) sahabat yang banyak membantu Peng untuk mengesan dan mencari jejak Mira sehingga ke merata tempat.

Sepanjang misi pencarian Mira itu terdapat pelbagai aksi yang lucu dan mendebarkan sehingga pihak polis pun kusut untuk mencari Mira.

Adakah Mira dapat diselamatkan, apakah yang berlaku kepada penculik itu dan adakah kisah cinta Bo dan Mira ini ke jinjang pelamin.

Anda kena saksikan filem ini sendiri yang sudah mula ditayangkan pada 22 Disember lalu di pawagam berdekatan anda.


Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir