Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan membuat laporan polis terhadap jirannya di Pangandaran, Jawa Barat selepas ditipu wang tunai sebanyak RM600,000.

Cakra ketika ditemui berkata, dia sendiri tidak menyangka jiran yang dikenali sejak kecil itu sanggup berbuat demikian.

“Saya, ibu dan kakak telah ditawarkan untuk menyertai arisan atau kutu oleh dia pada awal bulan lepas. Kami masing-masing memberikan wang tanpa mengesyaki apa-apa kerana saling kenal.

“Dia yang bertanggungjawab mengumpul wang semua peserta kutu kemudiannya lesap entah ke mana,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya lagi, sehingga sekarang dia masih tertanya-tanya mengapa jiran yang sangat dikenalinya itu sanggup menipu dia dan ibu serta kakaknya.

“Sehingga kini pun saya masih bersa hairan kenapa dia buat begitu. Sedangkan selama ini dia tidak pernah ada sebarang masalah di kawasan kejiranan kami.

“Dia seorang yang baik dan peramah dengan semua orang,” katanya yang sudah membuat laporan polis.

Bagaimanapun menurut Cakra dia reda dan menjadikan kejadian tersebut sebagai pengajaran buatnya di masa akan datang.

“Saya harap polis berjaya mengesan di mana dia, walaupun saya tahu Indonesia itu besar dan mungkin sukar untuk memberkasnya.

“Apapun, saya jadikan kejadian tersebut sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada orang lain tanpa usul periksa,” katanya.

Cakra ditemui ketika majlis Sidang Media Cakra Khan Mencari Cinta Sejati Promo Tour In Malaysia 2016 di Hotel Park Royal, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut juga, Cakra telah menerima anugerah tiga platinum untuk lagu Harus Terpisah di Malaysia.