Penyanyi Akim Ahmad atau Akim mengakui masih belum mengetahui jantina anak mereka dan lebih memberi fokus kepada kesihatan Stacy dan bayi dalam kandungan.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Akim Ahmad, 25, berkata, dia sebenarnya masih menanti untuk mengetahui jantina anak mereka.

"Sebenarnya ketika usia kandungan Stacy masuk tiga bulan, jantina bayi sudah boleh nampak tapi bila kami melakukan scan ‘dia’ masih belum mahu menujukkannya lagi.

"Mungkin bulan ke tujuh atau lapan baru kami akan cuba melakukan scan kembali dan ketika itu kami boleh mengetahui jantina anak itu nanti.

"Kami tidak kisah jika anak itu nanti lelaki atau perempuan kerana yang penting Stacy dan bayi yang akan dilahirkan itu sihat," katanya kepada Astro Gempak.

Akim berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Ulang Tahun Ke-31 kumpulan Wings, Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.

Tambah Akim, dia juga bercadang untuk mencari hospital yang berdekatan dengan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) kerana isterinya dijangka bersalin sama tarikh dengan konsert yang bakal diadakan itu.

"Saya kini masih mencari hospital yang sesuai untuk Stacy bersalin kerana pada hari yang sama saya ada konsert bersama Akim & The Majistret.

"Jika mengikut perkiraan doktor, bayi kami dijangka akan lahir sekitar bulan Februari tahun depan.

"Saya harus mencari hospital yang dekat dengan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) kerana dengan cara tersebut ia dapat memudahkan urusan ulang alik itu nanti.


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi