Trend pelakon yang bergelar rapper semakin menyemarakkan industri muzik negara. Nama-nama pelakon terkenal seperti Zizan Razak dan Syamsul Yusof yang berkecimpung dalam bidang nyanyian turut memberi saingan kepada penyanyi rap yang sedia ada.

Bertemu dengan penyanyi rap Altimet, trend pelakon yang bergelar rapper ini merupakan satu perkembangan yang baik dalam bidang muzik.

“Bagi saya, perkembangan ini merupakan sesuatu yang sangat bagus. Kalau lagi ramai terlibat dalam bidang muzik hip hop dan rap pun, tidak mengapa.

“Walaupun kehadiran mereka menjadi saingan kepada rapper yang sedia ada, perkara ini harus dipandang positif. Bila ada saingan sengit, baru industri kita berkembangan maju,” kata Altimet kepada Astro Gempak.

Tambah Altimet, seorang pelakon yang bergelar rapper harus menulis lirik sendiri untuk menjadi seorang rapper yang baik.

“Ada beza antara rapper dan rap vocalist. Seorang rapper menulis lirik sendiri dalam setiap karya yang diciptakan manakala seorang rap vocalist hanya menyanyikan lirik yang sudah disediakan.

“Untuk menjadi seorang rapper yang baik, seorang itu harus menulis lirik sendiri. Mungkin perkara tersebut tiada bezanya di telinga pendengar, tetapi perkara itu membawa beza yang besar dalam lingkungan muzik hip hop dan rap,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Altimet baru sahaja muncul dengan album studio terbaru yang berjudul Amboi.

Album Amboi mengandungi sembilan lagu ciptaan komposer terkemuka seperti Noh Salleh, DJ Fuzz, Sona One dan ramai lagi manakala semua lirik lagu yang terkandung dalam album ini merupakan ciptaan Altimet sendiri.

Teks oleh: Kamaruddin Razal