Pelawak dan pelakon Shuib Sepahtu bakal tampil dengan single pertamanya berjudul Sampai Tua yang akan dirakam dan dilancarkan tidak lama lagi.

Jelas Shuib, lagu ciptaan Aidit Alfian itu bakal dinyanyikan duet bersama isterinya, Siti Sarah.

"Lagu ini asalnya saya dengar sebelum berkahwin lagi, memang melodi dan liriknya sedap didengar. Seperti tahun 1950-an!

"Kemudian baru-baru ini saya teringat balik lagu itu dan menghubungi Aidit Alfian. Syukurlah lagu itu masih ada dan kami berjumpa kemudian bersetuju untuk menghasilkan lagu itu.

"Setakat ini lagu itu belum dirakamkan lagi dan Aidit akan menyusun semula melodi itu," katanya kepada Gempak.

Shuib yang ditemui ketika majlis pelancaran Bubble Bee di Shah Alam baru-baru ini teruja dengan projek terbaharunya itu.

Dalam perkembangan lain, Shuib dan Sarah kini meneroka peluang baharu menerusi perniagaan minuman berasaskan madu, Bubble Bee.

Bubble Bee dihasilkan dengan 14 perisa dan dijual dengan harga antara RM6.90 hingga RM14.90.

Foto: Azrul Rafie