Kumpulan De Fam akui gembira apabila berjaya membuktikan kebolehan mereka sebagai penyanyi apabila memenangi Anugerah Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22), Ahad malam.

De Fam yang dianggotai Manggis, Azira dan Sophia juga berharap kejayaan tersebut dapat menutup mulut pihak yang mempertikaikan nyanyian dan vokal mereka.


"Alhamdulilah, terus-terang kami tidak menyangka dengan kemenangan ini dan ia merupakan anugerah berprestij pertama kami selama kami berkecimpung dalam industri muzik.

"Kami bangga sekali kerana anugerah ini bukan calang-calangnya kerana ia dinilai oleh orang yang profesional dalam bidang muzik dan lebih membanggakan kami merangkul anugerah dalam kategori vokal.

"Ia benar-benar menggembirakan kami dan harap dengan trofi ini kami berjaya menutup mulut orang yang selalu mempertikaikan kebolehan vokal kami sebelum ini.

"Selain itu kami berharap dapat menafikan dakwaan orang yang merendahkan vokal kami dengan menuduh kami hanya menyanyi secara miming setiap kali persembahan live," kata Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin.

Mengulas mengenai pegalaman mereka merakamkan lagu Super Girls iaitu lagu yang bertanding dalam anugerah tersebut, Sophia memberitahu mereka melalui banyak cabaran untuk menghasilkannya.


"Orang mungkin lihat lagu ini mudah untuk dinyanyikannya tetapi sebenarnya lagu tersebut mencabar vokal kami juga, ditambah pula setiap kali menyanyikan lagu ini kami akan menari mengikut step.

"Bukan mudah juga kerana ia pengalaman kami pertama merakamkan lagu dan dalam masa yang sama terpaksa menyiapkan sehari suntuk dari pagi hingga malam untuk video klip yang memerlukan kami menari tanpa henti," katanya lagi.

Perkembangan lain, De Fam bakal menghasilkan single ketiga yang hampir siap dan bakal dilancarkan pada tahun hadapan.

Teks oleh: Syafiqah Jalal