Pelawak Ali Puteh mendedahkan keadaan puteri keduanya, Sharifah Nur Ainul Mardiah sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 26 November lalu.

Jelas Ali mesin bantuan pernafasan terpaksa dicabut selepas kali ketiga kerana akan memberi kesan kepada otak dan buah pinggang arwah anaknya.

“Saya baru kehilangan anak saya yang berusia tiga bulan selepas mengalami masalah injap jantung terbalik. Dia hanya mampu bertahan selama 16 hari selepas pembedahan.

“Dia tidak memberi respon positif kerana paru-parunya tidak dapat menyokong walaupun jantung berdegup seperti normal.

“Saya difahamkan doktor ini merupakan kali ketiga mesin bantuan pernafasan dicabut selepas mendapati ia akan memberi kesan kepada otak dan buah pinggang. Pada kali pertama dan kedua dicabut masih boleh disambung semula.

“Jadi saya dan isteri diminta untuk reda sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini. Saya sebagai ayah terpaksa terima dengan qada’ dan qadar yang telah ditentukan. Mati itu pasti kan,” katanya kepada HLive.

Pemilik nama Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan akui berasa tertekan dengan dugaan yang diberikan kepadanya.

“Saya agak tertekan kerana masih dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) di samping perlu membahagikan masa untuk menjaga anak di hospital setiap hari.

“Itu adalah cabaran dan pengalaman yang sangat luar biasa. Anak saya pergi dengan memberi hikmah kepada diri saya,” katanya lagi.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).