Penyanyi Syamel akui tidak kisah jika ada yang pertikaikan kemenangannya dalam kategori Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22), selepas terpalit dengan isu lagu ciplak.

Syamel memberitahu setiap orang ada pendapat masing-masing mengenai kemenangannya tetapi dia tidak pernah menafikan lagu Hidup Dalam Mati telah menaikkan namanya.

"Saya percaya setiap benda yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya reda namun saya akui selepas apa yang berlaku saya mengimpikan sesuatu yang besar akan berlaku dan inilah (Anugerah Artis Baharu Terbaik) antaranya.

"Mengenai pertikaian itu, bagi saya setiap orang punya pendapatn masing-masing. Namun secara jujur saya memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang apabila terpalit isu ciplak baru-baru ini.

"Malah, kalau boleh saya mahu melupakan lagu Hidup Dalam Mati itu dengan menumpukan perhatian pada single baharu. Bagaimanapun saya akur, lagu itulah yang menaikkan nama saya seperti hari ini," katanya kepada Astro Gempak.

Menerusi kategori tersebut, turut bersaing dalam adalah DeFam, Bella Nazari, Lyia Meta dan Projector Band.

Sementara itu, Syamel berharap agar kemenangan tersebut merupakan permulaan yang baik dalam kerjayanya untuk tahun 2017.

"Ini anugerah pertama selepas saya keluar dari Akademi Fantasia 2015. Jadi perasaanya saya amat teruja sekali dan tidak menyangka atas anugerah ini.

"Saya harap dengan anugerah ini ia akan memberi satu permulaan yang baik untuk tahun hadapan," katanya lagi.

Naib juara Akademi Fantasia (AF) 2015 bakal muncul dengan single terbaharu pada tahun hadapan.

Teks oleh: Syafiqah Jalal