Program Gegar Vaganza 2019 (GV2019) bakal menutup tirainya menerusi konsert final yang berlangsung Ahad ini, namun dalam pada itu masih ada segelintir netizen yang bertanggapan negatif mengenai isu pemilihan peserta yang dikatakan telah dirancang oleh pihak produksi terlebih dahulu.

Menjawab kepada persoalan berkenaan, Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD, Emarina Mohd Kamal tampil memberikan penjelasan.

Menurut Emarina, program GV merupakan 100 peratus daripada pihak juri, oleh itu apa saja keputusan datang daripada pihak berkenaan.

"Tanggapan ini biasanya akan ada pada program realiti show yang kami buat.

"Sebetulnya kami di 'control room' ada juruaudit, jadi mereka akan tengok monitor.

"GV pula adalah 100 peratus daripada pihak juri. Jadi apa yang diberi itulah keputusannya tiada drama-drama atau saja pihak astro keluarkan siapa-siapa atau selamatkan siapa-siapa," katanya.

Ditanya sama ada keputusan untuk menetapkan minggu penyingkiran telah dirancang dari awal, Emarina menafikan perkara berkenaan.

Menurutnya, minggu yang tiada penyingkiran memang akan ada, namun keputusan itu dibuat pada malam konsert dan bukanlah dirancang lebih awal.

"Macam minggu lepas memang ada penyingkiran tapi bila dibincangkan balik markah tu dekat-dekat, jadi kami buat keputusan untuk tiada yang tersingkir,” katanya.

Dalam pada itu, pusingan separuh akhir yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam malam tadi menyaksikan dua bintang tersingkir iaitu Wann dan Noorshila Amin.

Pentas akhir minggu hadapan bakal menyaksikan enam bintang berentap untuk merebut gelaran juara GV2019 iaitu Hady Mirza, Naqiu Boboy, Jatt Ali, Nurfatima, Sham Visa dan kumpulan One Nation Emcees.

BACA: Bukan Rezeki Wann & Noorshila Amin, 6 Bintang Layak Ke Final GV2019!